Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun maut apabila dipercayai terjun dari kediamannya di tingkat sembilan sebuah apartmen di Taman Tampoi Indah dekat sini pada Jumaat.

Memetik laporan portal The Star, kanak-kanak itu dimarahi ibunya kerana membuat bising lalu bertindak mengurung dirinya di dalam bilik.

"Siasatan awal mendapati setelah ditegur ibunya, mangsa mengunci diri di dalam biliknya sebelum terjun melalui tingkap apartmen di Jalan Skudai Lama di sini," kata Timbalan Pesuruhjaya OCPD Johor Baru Utara, Mohd Taib Ahmad dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kata Mohd Taib lagi, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dalam insiden jam 2.30 petang Jumaat itu.

"Dipercayai pertengkaran telah mendorong berlakunya insiden itu dan ibunya tidak menyangka anaknya akan bertindak sedemikian rupa,” tambahnya.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut sementara menunggu siasatan.