Bapa kandung kepada kanak-kanak yang ditemukan tidak sedarkan diri dengan leher dirantai pada tong gas di Indera Mahkota Khamis lalu akan membawa anaknya itu pulang ke Melaka hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun dan enggan dikenali itu berkata, dia lega dan bersyukur dengan keputusan mahkamah yang memutuskan hak penjagaan sementara selama sebulan kepadanya.

Katanya, dia amat menantikan keputusan itu selepas melihat sendiri keadaan anaknya yang berusia 10 tahun ditemukan polis dalam keadaan menyayat hati.

"Saya amat bersyukur kepada Allah dengan keputusan ini. Saya bersedia menjaga anak-anak kerana sebelum ini dua daripada tiga anak dengan bekas isteri tinggal bersama saya di Melaka.

"Tetapi, tiga tahun lalu bekas isteri mengambil mereka semula tanpa pengetahuan saya ketika mereka berada di asrama sebuah sekolah tahfiz," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini hari ini.

Beliau yang berkerja sebagai penyelia sebuah pusat cuci kenderaan berkata, anak sulung yang berusia 16 tahun akan bersekolah di sini dan bersedia tinggal bersamanya selepas selesai peperiksaan.

"Terpulang kepada dia (anak-anak) untuk tinggal bersama siapa dan saya tiada masalah untuk menjaga mereka," katanya.

Hari ini, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak memutuskan bapa kandung kanak-kanak yang didera itu diberikan hak penjagaan sementara.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman memutuskan perintah jagaan sementara selama sebulan berkuat kuasa hari ini.

Dalam prosiding hari ini, kanak-kanak berusia 10 tahun itu dilihat hadir ditemani bapa kandung, ibu tiri dan abang sulungnya.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, mangsa berusia 10 tahun itu dirantai lehernya pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota dekat sini oleh bapa tirinya dipercayai kerana tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah.

Perbuatan bapa tiri berusia 35 tahun itu terbongkar selepas sepasukan anggota polis melakukan pemeriksaan di rumah tersebut setelah menerima maklumat awam kira-kira pukul 10 pagi.

Bapa tiri mangsa yang bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang, dekat sini, ditahan reman bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.