Seorang lelaki yang dituduh mencabul dan merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh, Mohd Zairil Mohd Zin, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Madihah Harullah di Mahkamah Sesyen Seremban, pada Khamis sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabi’i kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Titi, Jelebu, bulan lalu.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol kanak-kanak berkenaan di rumah, lokasi dan tarikh sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak.

Norshazwani dalam hujahnya memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi sebelum peguam tertuduh, M Haresh meminta jaminan minimum berikutan hanya tertuduh sahaja yang bekerja dan menanggung keluarganya.

Hakim kemudiannya menawarkan jaminan RM8,000 dan kes akan disebut semula pada 6 Mei depan.

Terdahulu, media melaporkan lelaki berkenaan melakukan perbuatan terkutuk dengan mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu yang diasuh isterinya.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 40-an itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut ketika isterinya tiada di rumah di Kuala Klawang pada 23 Mac lalu.

Pada 24 Mac lalu, ibu mangsa membawa anaknya ke klinik dan pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan cabul dan seterusnya membuat laporan polis.