Seorang kanak-kanak perempuan berumur setahun empat bulan terperangkap di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Sungai Limau, Lunas, awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu daripada lemas di dalam kereta.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.15 pagi anggotanya bergegas ke lokasi.

Setiba di lokasi, anggota bomba mendapati terdapat seorang kanak-kanak perempuan terkunci di dalam kereta jenis Toyota Corolla ketika ibunya sedang berhenti untuk mengisi petrol.

Anggota bomba terpaksa menggunakan alatan khas untuk mencungkil pintu sebelum berjaya mengeluarkan kanak-kanak itu.

Mohamadul Ehsan berkata kanak-kanak berkenaan berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.