Mayat kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang di Taman Rekreasi Lagun, Kuala Ibai, Terengganu, ditemui lemas.

Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Abdullah Zawawi berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang oleh pasukan penyelamat.

"Mangsa lemas ditemui pada jam 4.48 petang,dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,'' ujar beliau.

Pada Khamis, ketika umat Islam masih lagi dalam suasana berhari raya, kegembiraan Aidilfitri sembilan sekeluarga bertukar tragedi selepas salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Aidil Muhammad Razali, pelajar Tahun 3, dikatakan terjatuh selepas pasir yang dipijaknya runtuh sebelum dihanyutkan arus deras.

Semasa kejadian, mangsa sedang bermain bersama enam lagi adik beradiknya yang lain.