Anggota Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang baharu berkuat kuasa Rabu (9 Nov) bagi menggantikan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Kementerian Pendidikan di dalam kenyataan hari ini, berkata pelantikan selama dua tahun itu dibuat oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid melalui satu surat pelantikan yang dikeluarkan oleh kementerian itu.

Budiman, 44, juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang dan turut bertanggungjawab sebagai Setiausaha ADUN Barisan Nasional Selangor.

"Beliau kini turut bertanggungjawab sebagai Pengerusi SLR Institute yang memfokuskan kepada kajian terhadap isu kepimpinan, penyelidikan politik dan strategik. Dalam masa yang sama, beliau turut mempengerusikan Sekretariat Orang Muda Selangor (SERANG), pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu belia di Selangor," menurut kenyataan itu.

Budiman sebelum ini menyandang beberapa jawatan penting di dalam agensi dan yayasan antaranya, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran MARA, Ahli Lembaga Pengarah Maktab Koperasi Malaysia dan Pengerusi Yayasan Harapan Budi.

Menurut kenyataan itu, Mahdzir berharap dengan pelantikan tersebut, Budiman dapat memainkan peranan dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian ITBM ke tahap lebih cemerlang dalam bidang penterjemahan dan penerbitan buku di peringkat tempatan dan antarabangsa.

ITBM, sebuah syarikat milik penuh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan diselia oleh Kementerian Pendidikan, melaksanakan pembangunan bidang terjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan ilmu di semua peringkat, kebangsaan ataupun antarabangsa.

ITBM juga bertanggungjawab memperkasa dan memperbanyak penerbitan karya asli penulis tempatan selaras dengan visinya untuk menjadi 'badan penterjemahan terunggul dan penerbit buku berkualiti'. -- BERNAMA