Menjelang pembukaan sesi persekolahan dengan normal baharu, para guru dan ibu bapa pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keledang, Menglembu membuat persiapan akhir dengan bekerjasama memastikan prosedur operasi standard (SOP) di setiap kelas diatur dengan baik.

Menurut Pengetua sekolah berkenaan, Gunalan Tony, persiapan itu penting bagi memastikan hari pertama persekolahan yang bermula 24 Jun ini berjalan lancar dengan tatacara penjarakan sosial yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihak sekolah akan memaklumkan tatacara kembali ke sekolah beserta SOP di halaman Facebook rasmi sekolah untuk memberikan kefahaman kepada pelajar selain membuat persediaan sebelum hadir ke sekolah nanti.

“Hari pertama apabila mereka datang sekolah mereka akan diambil suhu badan di pintu masuk ada empat orang guru akan berada di situ dibantu oleh 10 orang guru lagi.

“Bila suhu badan mereka itu kurang daripada 37.5 darjah Celsius, mereka dibenarkan masuk tetapi sekiranya lebih daripada itu, kita akan bawa mereka ke bilik kesihatan.

“Kita akan maklumkan melalui speaker (pembesar suara) yang telah kita pasang tentang tatacara apakah peraturan normal baharu yang perlu pelajar patuhi,” katanya.

Tinjauan di sekolah itu pada Isnin turut mendapati para guru dan ibu bapa pelajar berganding bahu menyusun atur kerusi meja serta menampal tanda pergerakan bagi penjarakan sosial di kelas dan juga koridor sekolah.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut, Chiu Phui Yee berkata, selaku wakil ibu bapa pelajar, beliau yakin dan percaya dengan aspek keselamatan dan persiapan SOP yang amat dititik beratkan oleh pihak sekolah.

Katanya, peranan ibu bapa juga penting dalam memastikan para pelajar mematuhi peraturan normal baharu di sekolah

“Hari ini kita sama-sama datang buat tanda penjarakan sosial di sekolah, semua pelajar yang datang ke sekolah nanti dapat menjarakkan diri mereka sesama sendiri. Ia menimbulkan satu kesedaran dan budaya persekolahan yang baharu.

“Segala persiapan di sekolah ini adalah yang terbaik untuk anak-anak kita, jadi saya tidak rasa gementar untuk anak-anak datang balik ke sekolah,” ujarnya.

Seorang guru di sekolah tersebut, Mohd Zulkhairi Berhanudin pula berkata, semua rakan seperjuangannya sudah bersiap sedia dan teruja untuk menerima kedatangan pelajar.

Dalam masa sama, beliau berkata, guru-guru yang tidak mengajar kelas peperiksaan pula akan turut membantu memantau SOP yang ditetapkan.

“Untuk normal baharu ini, kami (guru-guru) akan hadir sesi pagi. Semua guru sebenarnya teruja untuk datang ke sekolah kerana lebih kurang 90 hari kami berjauhan dengan anak murid kami.

“Kami akan jaga pelajar, berada di depan pintu pagar sekolah dan mengawal mereka ketika berada di kantin.

“Guru di sini juga akan menyampaikan pembelajaran bagi pelajar yang tidak datang ke sekolah melalui cara atas talian,” katanya.

Kira-kira 340 orang pelajar tingkatan lima dan enam akan memulakan sesi persekolahan di sekolah itu pada 24 Jun dengan 298 pelajar tingkatan lima dan 36 pelajar tingkatan enam.