Polis menafikan dakwaan pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di sini, dibuli dan dipaksa diberikan racun sehingga dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menerima rawatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata pihaknya menerima laporan daripada ahli keluarganya dan siasatan mendapati dakwaan remaja berusia 15 tahun itu tidak benar.

"Setelah siasat dapati dakwaan remaja ini tidak benar. Remaja ini dipercayai tidak dipaksa dimasukkan racun jenis paraquat ke dalam mulut sebaliknya ia dilakukan sendiri oleh mangsa.

"Bagaimanapun, remaja terbabit dilaporkan stabil namun, masih menerima rawatan di hospital berkenaan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan," katanya di sini, hari ini.

Tindakan remaja berkenaan mula tular di media sosial mendakwa dia dibuli oleh seorang lelaki berpakaian pendidikan jasmani dengan mencekik leher dan memasukkan cecair racun ke dalam mulut di dalam tandas lelaki sekolah terbabit.

Remaja telah menerima rawatan awal di sebuah klinik kesihatan sebelum menerima rawatan lanjut di hospital berkenaan.

Sementara itu, Adun Buntong, A Sivasubramaniam turut melawat remaja terbabit dan mangsa masih dalam pemerhatian apabila ujian urin mendapati ada kesan racun terbabit.

"Saya gembira remaja ini selamat dan doktor melaporkan keadaannya telah stabil," katanya.