Agensi Promosi Perdagangan Kebangsaan Malaysia (MATRADE) perlu berperanan bukan sahaja sebagai promosi perdagangan, sebaliknya menjadi organisasi berteraskan data bagi pelaksanaan aktivitinya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pada masa kini 'big data' berperanan penting dalam memenuhi kehendak pengguna.

"Kita akan tahu apa yang rakyat mahu dan kita boleh memenuhi kehendak mereka.

"Pada ulang tahun ke-25 ini dilihat sebagai batu loncatan kepada MATRADE untuk memastikan agensi itu kekal relevan.

"MATRADE perlu menilai apa yang telah dicapai, menganalisis secara kritikal cabaran akan datang selain kekal berinovasi dalam mewujudkan perkhidmatan yang memenuhi kehendak dan permintaan pemegang taruh," katanya.

Darell Leiking (dua,kiri) bersama Timbalan Menteri MITI Dr Ong Kian Ming (dua,kanan), Pengerusi MATRADE Datuk Isham Ishak (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Dr Mohd Shahreen Madros (kanan) bersama 'Coffee Table Book' pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun ke- 25 MATRADE di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam Isnin.

Teks ucapan beliau itu dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking sempena Majlis Makan Malam Gala Ulang tahun Ke-25 MATRADE di sini semalam.

Jelas beliau, MATRADE dan pihak berkepentingan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan beroperasi dalam ekonomi serta aliran mega dunia yang cepat berubah dan berevolusi.

Tegasnya, Malaysia perlu bersedia dan brdaya tahan, kerana negara akan terus berdepan dengan banyak lagi cabaran di masa depan.

"Oleh itu, kita perlu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi kita dengan meningkatkan produktiviti dan memantapkan daya saing industri. Kita perlu manfaatkan Industri 4.0. Kita perlu berterusan menambah baik dan memupuk ekosistem perniagaan untuk menawarkan penyelesaian inovatif, lancar dan bersepadu bagi pihak berkepentingan kita," katanya.

Perdana Menteri berkata revolusi digital kini mewujudkan peluang baharu dalam pasaran dunia, berkembang maju daripada sebagai wadah perniagaan mudah dalam ruang lingkup pejabat kepada transformasi digital dan Objek Rangkaian Internet, yang telah mencorakkan kehidupan harian dan secara komprehensif mengubah cara orang menjalankan perniagaan secara keseluruhannya.