Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menjelaskan harta yang diisytiharkan beliau bukan, RM75 juta, tetapi RM82 juta.

Menurutnya, RM80 juta diisytiharkan di atas nama beliau manakala RM2 juta lagi atas nama isteri dan anak.

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah itu mungkin meningkat beberapa juta lagi kerana terdapat beberapa aset yang belum dinilai, termasuk insuran dan syarikat guamannya yang diserahkan kepada rakan kongsi.

Beliau mendakwa, harta yang dikumpul itu bersih kerana beliau tidak terlibat dengan rasuah, termasuk sepanjang 32 tahun sebagai peguam.

“Saya bersyukur kerana tuhan sangat baik dengan saya,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, berdasarkan jumlah yang dipaparkan pada protal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penasihat DAP Perak itu dikatakan merekodkan jumlah pengisytiharan harta tertinggi berjumlah RM75,816,184.00.

Menurut Koo Ham, kesilapan itu mungkin disebabkan pengiraan dan penjumlahan yang dilakukan pihak berkenaan.

Beliau berkali-kali menegaskan kehidupannya bebas daripada rasuah sehingga pernah gagal untuk mendapatkan lesen motosikal dan kereta, semata-mata tidak mahu terlibat dengan kegiatan mesti lulus.

Tambahan pula, ujarnya, beliau mula melakukan pelaburan selepas mendapat RM2 juta pertamanya 20 tahun lalu, yang memberi pulangan baik.

“Tiada apa yang hendak dibanggakan, saya masih gunting rambut RM6 di kedai India di bawah pejabat saya dan jika ada masa, saya pergi salon dengan bayaran RM15,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau yakin, amalan baik, termasuk tidak terlibat dalam rasuah sejak dahulu, adalah antara sebab kejayaannya.