Seramai 12 graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya ditawarkan kerja di Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Menurut Pensyarah Kejuruteraan Aeronautik UTHM, Dr Kamilah Yusuf, kesemua mereka berjaya dalam temuduga yang ditetapkan kerana ilmu yang mendalam serta kefahaman tinggi mengenai kejuruteraan pesawat.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar kami sekali gus menjadikan mereka bukan sahaja mampu mengendalikan pesawat, tetapi juga faham mengenai kejuruteraan pesawat itu sendiri," katanya.

Pada masa yang sama katanya, modul pembelajaran yang digariskan bertepatan dengan kehendak industri mendorong mahasiswa sentiasa di hadapan dan tidak ketinggalan dengan arus perubahan dalam sektor penerbangan awam.

Kesemua mereka merupakan lulusan Program Kejuruteraan Aeronautik UTHM di bawah dua jabatan iaitu Kejuruteraan Aeronautik Penerbangan Profesional dan Kejuruteraan Aeronautik Penyelenggaraan Pesawat.


_________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers , Anbia Adam dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).