Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, menafikan dakwaan kediaman ibu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Rahah Mohamed Noah diserbu polis, pada Khamis.

Sebaliknya Noor Rashid memaklumkan, pihak PDRM hanya melakukan pemeriksaan mengikut prosedur yang sepatutnya selepas menerima maklumat daripada siasatan yang dijalankan.

"Kita buat pemeriksaan sahaja, tiada serbuan seperti yang didakwa. Selepas siasatan dibuat, kita merasakan ada keperluan untuk memeriksa rumah itu.

"Kita datang dengan baik dan Tun Rahah juga memberi kerjasama dengan baik," katanya sambil turut memberitahu tiada sebarang rampasan dibuat dalam pemeriksaan tersebut.

BACA: Rumah ibu Najib digeledah

Noor Rashid ditemui selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pihak termasuk Najib sendiri, mempersoalkan tindakan menyerbu rumah ibunya itu.


Dalam pada itu, Noor Rashid juga memaklumkan beliau belum menerima sebarang maklumat tentang siasatan yang dilakukan terhadap Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang mengumumkan keluar dari UMNO dua hari lalu, mengesahkan dipanggil pihak polis berkenaan dana yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

BACA: Tok Pa sahkan beliau dipanggil polis