Tidak perlu jaga tepi kain orang, tetapi masyarakat perlu peka dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Inilah seruan Presiden Muscleteer Malaysia Fadzli Fadhilah yang menjadi mangsa rompak oleh seorang penghantar makanan segera baru-baru ini.

"Kadang-kadang kita cakap sahaja masyarakat kita prihatin, tetapi ia tidak sampai ke akar umbi. Saya kesal masyarakat dan kawan-kawan tidak hendak tengok. Mereka buat hal masing-masing. Penjenayah tengok seorang OKU tidak tinggal dengan sesiapa jadi dia dijadikan sasaran. Saya rasa masyarakat dan kerajaan kena peka.

"Walaupun saya macam ini, namun kita masih lagi sebahagian dari masyarakat. Walaupun berkerusi roda, saya masih lagi menyumbang kepada masyarakat dengan cara saya. Jadi lebih prihatin," kata Fadzil yang ditemui di kediaman beliau.

Beliau mahu agar orang ramai untuk berkenalan dengan golongan itu dan sentiasa peka.

"Bukanlah suruh bergaul sampai jaga tepi kain orang. Bukan macam tu. Tetapi macam kalau ada bunyi jatuh ke, mesti ada sesuatu yang tidak kena. Bila situasi ini berlaku, jiran-jiran perlu peka. Tambah lagi macam saya yang duduk seorang, senang menjadi sasaran," tambah beliau.

Fadzli turut bertemu dengan Senator Dewan Negara yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Kecederaan Spina Malaysia Bathmavati Krishnan, pada Khamis.

Kata beliau, undang-undang dan akta baru perlu diperkenalkan untuk melindungi OKU.

"Dia memang sangat-sangat prihatin tentang jenayah terhadap OKU yang semakin berleluasa sekarang ini. Kadang-kadang penderaan itu bukan dari orang luar tetapi keluarga sendiri. Kalau orang luar lagi, macam-macam dia hendak buat. Sekarang ini jadi macam trend pula orang OKU dijadikan sasaran. Mengapa? Kita orang tidak boleh hendak melawan, tidak dapat mempertahankan diri. Jadi kita jadi sasaran," tambah beliau.

Gesaan itu dibuat susulan kejadian pada 11 Jun lalu, apabila seorang lelaki penghantar makanan segera telah membuat penghantaran palsu sebelum Fadzli dirompak sebanyak RM100 di rumahnya.

"Dia tidak melarikan diri. Dia cuma berjalan ke lif sebab dia tahu saya tidak boleh kejar beliau," ujar Fadzli.

Beliau telah pun membuat laporan polis dan berkata insiden ini masih lagi dalam siasatan pihak berkaitan termasuk syarikat makanan segera terbabit.