Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy akan dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan satu artikel disiarkan sebuah portal berita, bulan lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

Beliau berkata Ramasamy dijangka hadir ke Bukit Aman pada pukul 10 pagi ini untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 berhubung perkara itu.

BACA: Ramasamy dipanggil Bukit Aman Isnin ini

Pada 17 Okt lepas, Ramasamy dilaporkan diminta memberi keterangan berhubung artikel bertajuk "Kerajaan Baharu tapi Polis Masih Pada Takuk Lama - Ramasamy" yang disiarkan di laman web www.malaysiagazette.com pada 17 Sept lalu.

Dalam artikel itu, Ramasamy telah mengulas tindakan polis menembak mati tiga lelaki yang disyaki perompak di Kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang, Selangor, 14 Sept lepas.

-- BERNAMA