Malaysia mengutuk keras keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengisytihar Bukit Golan di Syria sebagai milik Israel.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu berkata Malaysia tidak dapat menerima keputusan Amerika Syarikat itu yang mengiktiraf pendudukan secara haram dan tidak sah terhadap tanah yang dimiliki oleh negara berdaulat.

"Tindakan tidak bertimbang rasa dan provokatif itu hanya hipokrasi," katanya.

Justeru Malaysia menyeru Amerika Syarikat supaya menghormati dan menegakkan tanggungjawabnya di bawah Resolusi 497 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.


"Israel mesti menarik balik sepenuhnya daripada menduduki Bukit Golan milik Syria. Malaysia mengulangi pendirian tidak berbelah bagi terhadap Bukit Golan yang perlu dikembalikan kepada Syria," tambahnya.

BACA: Bila dan mengapa Israel merampas Bukit Golan?

Pada hari Isnin, Trump menandatangani perisytiharan presiden yang mengiktiraf Golan sebagai wilayah Israel.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, status undang-undang Golan akan kekal - meskipun pengumuman Trump - dan masih dianggap "wilayah yang diduduki" di bawah undang-undang antarabangsa.

Israel menduduki Bukit Golan dari Syria semasa Perang Arab-Israel 1967 dan terus menduduki kira-kira dua pertiga daripada wilayah itu. -- BERNAMA