Penggubalan kurikulum dan kandungan buku teks mata pelajaran sejarah untuk sekolah rendah atau sekolah menengah tidak pernah mengabaikan sejarah mana-mana negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebaliknya penulisan dan pendidikan sejarah adalah berasaskan kepada kaca mata, aspirasi dan pandangan masyarakat negara ini secara umum yang telah diiktiraf.

"Ia telah diiktiraf oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum dan Buku Teks Sejarah yang terdiri daripada tokoh pelbagai latar belakang sama ada ahli akademik, universiti dan Persatuan Sejarah," katanya semasa menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-11 peringkat Kementerian Pendidikan, di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata panel tersebut yang bertanggungjawab menggubal buku teks itu telah mengambil kira ketetapan dan asas-asas pertimbangan untuk menentukan kandungan buku teks yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, katanya keterbatasan tetap berlaku yang tidak semua bahan sejarah negara ini dapat dimasukkan sebagai kandungan dalam buku teks itu.

"Kita tidak dapat masukkan semua sekali kerana ada asas-asas pertimbangan yang mana kita boleh masukkan sebagai bahan sejarah dan yang mana tidak dapat kita masukkan...tetapi elemen itu memang ada diambil kira," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian sentiasa melakukan kajian dan penilaian semula kandungan buku teks mata pelajaran itu dari semasa ke semasa bagi memastikan ia sesuai untuk masa-masa akan datang.

Isu kandungan buku teks tersebut dibangkitkan oleh Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) ketika mencelah penggulungan Muhyiddin.

Muhyiddin berkata pihaknya juga akan menyiasat dakwaan mengatakan nama Profesor Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang tertera dalam buku teks Sejarah sebagai 'orang yang dirujuk' tanpa pengetahuannya dan pakar sejarah itu didakwa tidak pernah dirujuk untuk penggubalan buku teks itu.

"Saya akan siasat. Mungkin secara rasmi dia tidak ada sama ada dalam proses menyiapkan kurikulum sejarah itu...ini saya kena siasat," katanya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Pagoh itu berkata kerajaan sememangnya berhasrat untuk memastikan semua sekolah beroperasi dalam satu sesi persekolahan dan inisiatif khusus untuk mencapai matlamat itu telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Katanya, dalam RMK11 dan RMK12, kerajaan menyediakan perancangan strategik jangka panjang yang melibatkan pembinaan sekolah baharu, bangunan tambahan dan gantian bagi menukarkan sekolah padat menjadi sekolah satu sesi.

"Sehingga 1 Mei 2015, terdapat 8,767 buah sekolah yang beroperasi satu sesi. Jumlah ini bertambah berbanding 8,705 pada tahun 2014 dan 8,625 pada 2013," katanya.