Datuk Seri Bung Moktar akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Felcra Berhad, hujung bulan ini.

Beliau berkata, surat peletakan jawatannya akan dihantar akhir bulan ini.

“Insya-ALLAH saya akan hantar surat peletakan jawatan hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui di Menara Datuk Onn, di sini, hari ini.

Peletakan jawatan itu susulan kekalahan BN dalam PRU14 yang menyaksikan perubahan tampuk pemerintahan negara.

Semalam, Majlis Penasihat Kerajaan bertemu pimpinan Felcra Berhad bagi membincangkan tentang operasi serta prestasi organisasi itu.

Namun ia tidak menyentuh kedudukan Ahli Parlimen Kinabatangan itu selaku pengerusi agensi terbabit.

Mengulas tentang senario parti yang keluar dari BN, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, BN tidak meminta mana-mana parti berbuat demikian.

“Saya rasa Umno masih lagi kuat di peringkat akar umbi dan boleh jadi ‘back up’ BN sebab ada sesetengah parti (dalam BN) tidak menyumbang apa-apa. Jadi tak ada sebab untuk mereka bersama BN.

“Kita tidak minta sesiapa keluar (BN), tetapi siapa hendak keluar, silakan. Sesiapa yang hendak bersama kita, teruskan. Selagi kuat, kita boleh bantu kemenangan BN,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut mempersoalkan layanan diberikan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini disiasat berhubung dakwaan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

“Soal berpatutan memang tidak patut, tetapi beginilah yang berlaku apabila sebuah parti yang hendak menjadi pemerintah.

“Bila mereka dapat kuasa, mereka akan gunakan apa jua kuasa yang ada untuk jatuhkan lawan mereka. Saya percaya rakyat pun faham dengan apa yang berlaku. Bukan ini perubahan yang mereka mahu,” katanya.