Tiga sahabat berdepan hukuman mati mandatori selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian atas tuduhan membunuh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tahun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan namun kesemua tertuduh mengangguk faham di hadapan Majistret Azlan Bohari.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh – Mohammad Khalifah Yahya, 24 tahun, Abdul Shukur Abdul Ghani, 26, dan S. Ragu, 38, melakukan kesalahan itu pada 27 Jan 2017.

Tertuduh secara bersama-sama membunuh Jaiman Sapar, 53, di rumah tidak bernombor di Kampung Pak Intan, Kayu Ara Pasong di sini kira-kira jam 1 tengahari.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Baiduri Mustakim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan 15 Mac ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Dalam mahkamah sama, Mohammad Khalifah turut berdepan tiga pertuduhan mencuri dan pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pada 27 Januari tahun lalu, media melaporkan seorang pegawai JPJ pontian maut ditetak dalam kejadian rompakan di rumahnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian.