Mahkamah Tinggi Melaka hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap empat sahabat termasuk dua beradik selepas didapati bersalah membunuh seorang kenalan mereka, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu terhadap M. P Namasivayam, 30 tahun; P. Narendranpathy, 33 tahun; P. Sethupathi, 32 tahun; dan Aiman Mazlan, 27 tahun selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Keempat-empat tertuduh menitiskan air mata sebaik keputusan terbabit dibacakan.

Pada prosiding yang berlangsung kira-kira dua jam itu, Mohd Firuz pada penghakimannya turut melepas dan membebaskan dua lagi tertuduh A. Satish, 26 tahun dan G. Vincent Lawrence, 28 tahun.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menyebabkan kematian B. R. Sivan yang ketika itu berusia 32 tahun di hadapan rumah di Jalan BJ 2, Taman Bertam Jaya, Melaka sekitar 10.45 malam, 4 Mei 2013 lalu dan didapati bersalah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sethupathi dan Aiman turut dididakwa dan didapati menyebabkan kecederaan parah terhadap abang dan adik mangsa, iaitu Muniandy dan Garnesan yang masing-masing kini berusia 36 dan 41 tahun dengan menggunakan parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu, mereka dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkapan pada 11 September 2013 lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris dalam hujahannya berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman dengan mangambil kira beberapa faktor termasuk kepentingan awam, keseriusan dan kekerapan kes bunuh serta senjata yang digunakan dalam insiden itu.

Hujah beliau, kesemua mangsa dalam kes ini merupakan adik beradik dan insiden pembunuhan itu berlaku dihadapan ibu dan anak saudara mangsa.

Susulan itu, kejadian berkenaan meninggalkan kesan mendalam terhadap ibu mangsa yang mana seorang anaknya maut manakala dua lagi mengalami kecacatan kekal susulan daripada insiden berkenaan.

Terdahulu, seramai 36 saksi pendakwaan dan 10 saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja, Andrew Lourdes, Raftfizi Zainal Abidin dan Asmawi Ismail.