Seorang lelaki bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh rakannya di Kampung Jong, Gerik dekat sini pada pertengahan bulan lepas.

Tertuduh, Mohd. Norol Latif Abd. Raof, 50, kelihatan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Mengikut pertuduhan, Norol Latif yang bekerja kampung itu didakwa melakukan jenayah bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd. Sharulnizam Abdullah, 29, di hadapan sebuah rumah di Kampung Jong, Gerik pada pukul 1.20 pagi 16 Januari lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 1 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, seorang lelaki mati dibunuh oleh seorang lelaki dipercayai kenalannya di Kampung Jong di sini.

Laporan Astro AWANI pada 16 Januari lepas itu juga melaporkan mangsa yang maut ditikam di bahagian dada dipercayai berpunca daripada sikap cemburu.