Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya dua tahun lalu.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh, N. Sanderasegaran, 30 tahun, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Sanderasegaran dituduh membunuh S. Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun, di rumah beralamat 4, Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai, Ipoh antara jam 11 malam pada 27 Feb 2016 dan pukul 6 pagi hari seterusnya.

Sanderasegaran didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika disabit kesalahan.

Mohd Ruzima dalam penghakimannya berkata, tertuduh sengaja mereka-reka cerita dengan mengatakan dia dan mangsa dirompak sekumpulan lelaki ketika kejadian sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Tambah beliau, ujian makmal yang dilakukan mendapati hanya dua DNA iaitu milik mangsa dan tertuduh dijumpai di badan mangsa dan tiada DNA individu lain.

Selain itu, barang kemas mangsa juga masih terdapat pada tubuhnya ketika mayatnya dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Suainbon manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ranjit Singh.

Pada 28 Feb 2016, pihak media melaporkan mayat Durga Devi ditemui terbaring di ruang tamu sebuah rumah di Ladang Sengat dengan kesan kecederaan pada muka dipercayai akibat ditumbuk.