Jabatan Imigresen memperketatkan pemeriksaan di pintu sempadan negara bagi membantu polis menyekat suspek dalam kes pembunuhan tiga sekeluarga di sini, Rabu lepas, bolos ke luar negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya sudah mendapatkan maklumat terperinci berkaitan suspek yang kini sedang dijejaki polis bagi membantu sisatan kes itu.

"Dalam soal jenayah, kita sentiasa bekerjasama dengan polis, dan sentiasa kita perketatkan pintu masuk, dan kita sudah dapat perincian bagi memastikan tiada pembolosan berlaku di sempadan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Jasa Perwira Piala Ketua Pengarah Imigresen 2017 di sini, hari ini.

Mustafar berkata, kawalan sempadan akan dipertingkatkan sekiranya berlaku apa juga kes, sama ada di negara ini atau negara jiran, melalui kerjasama bileteral yang telah terjalin sekian lama.



Dalam kejadian Rabu lepas, mangsa Kha Eng Ni, 42, isterinya, Chua Joo Seok, 43, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13, dibunuh di sebuah rumah yang dijadikan stor barangan perkakas rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di sini.

Polis kini sedang mencari seorang lelaki yang bekerja dengan mangsa dikenali sebagai Sharat a/l Eh Wang@Pot, 31, bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Sementara itu, Jabatan Imigresen turut melancarkan Skuad Cakna Bah sebagai persiapan pihaknya menghadapi musim tengkujuh yang berkemungkinan berlaku banjir di pantai timur.

"Skuad proaktif ini diwujudkan bagi menangani bencana banjir serta menjaga kebajikan pegawai dan anggota jabatan ini," kata Mustafar.

Di Kelantan, antara kawasan yang sering terlibat dengan banjir ialah Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Bukit Bunga dan Tanah Merah.