Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini selepas mencatatkan peningkatan memberangsangkan di hampir semua kaunter, disokong oleh sentimen pasaran positif yang muncul semula.

Pada 9.05 pagi, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 8.44 mata kepada 1,388.74 daripada 1,380.30 ketika ditutup semalam.

Lingkungan pasaran berada dalam aliran meningkat dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 339 berbanding 70 manakala 168 kaunter tidak berubah, 1,344 kaunter tidak diniagakan dan 69 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 379.80 juta saham bernilai RM152.45 juta.

Malacca Securities menerusi nota ekuitinya hari ini berkata, saham di Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi susulan pengumuman mengenai kelonggaran bagi sektor yang diluluskan untuk mereka beroperasi pada kapasiti penuh.

"Aktiviti ekonomi yang bergerak semula secara berperingkat merupakan petanda baik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi sekali gus menaikkan keyakinan pelabur bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan boleh ditamatkan pada 12 Mei ini," menurut firma pembrokeran itu.

Ia berkata berasaskan penyambungan semula aktiviti ekonomi yang mungkin semakin rancak sehingga kembali seperti biasa, ditambah dengan petanda perkembangan positif mengenai rawatan berpotensi ke atas COVID-19, ini sekali gus membolehkan FBM KLCI terus memberi reaksi positif.

"Ia akan menguji semula paras 1,400 dalam jangka terdekat. Sementara itu, paras rintangan seterusnya pada 1,420 manakala 1,360 dan 1,340 pula sebagai paras sokongan," katanya.

Bagi kaunter berwajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 14 sen kepada RM5.28, Maybank meningkat enam sen kepada RM7.47, Tenaga Nasional menambah 12 sen kepada RM12.22 dan Public Bank menokok lapan sen kepada RM16.08.

Bagi saham aktif, Sapura Energy dan Velesto masing-masing naik lima sen kepada 8.5 sen dan 13.5 sen sementara AirAsia Group menambah dua sen kepada 80.5 sen.

Bagi saham untung, saham produk dan perkhidmatan pengguna mengukuh dengan Dutchlady melonjak 48 sen kepada RM48.00 manakala Carlsberg, British American Tobacco dan Heineken Malaysia masing-masing meningkat 36 sen, 22 sen dan 16 sen kepada RM28.50, RM12.62 dan RM24.68.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 68.41 mata kepada 9,705.47, Indeks FBMT 100 menokok 64.14 mata kepada 9,571.37, Indeks FBM Emas Syariah naik 66.50 mata kepada 10,774.35, FBM ACE menambah 43.27 mata kepada 4,745.29 sementara FBM 70 melonjak 102.56 mata kepada 11,636.34.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 81.27 mata kepada 12,338.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.58 mata kepada 117.01 sementara Indeks Perladangan turun 9.08 mata kepada 6,236.88. - BERNAMA