Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, didorong oleh gelombang harga minyak mentah yang meningkat serta sentimen positif di Wall Street dalam tempoh semalaman susulan keyakinan terhadap vaksin COVID-19.

Pada 9.05 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) melonjak 11.20 mata atau 0.79 peratus kepada 1,421.36 daripada 1,410.16 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 9.61 mata lebih tinggi kepada 1,419.77 hari ini.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 466 berbanding 89, sementara 204 kaunter tidak berubah, 1,132 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 926.86 juta unit bernilai RM298.06 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata prestasi Wall Street melonjak pada Isnin susulan harapan terhadap kejayaan awal vaksin COVID-19, justeru pasaran serantau dijangka turut mengalami sedemikian.

Di peringkat tempatan, pihaknya menjangkakan FBM KLCI akan mencatatkan aliran lebih tinggi pada sesi awal namun mungkin mengalami beberapa pengambilan untung di sepanjang dagangan.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras tersebut menguji paras 1,425 dan ditutup pada sekitar 1,420.

"Namun demikian, kami terus menasihati para pelabur supaya berhati-hati," menurut Rakuten Trade.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd mengunjurkan FBM KLCI mengekalkan kedudukan di atas paras psikologi 1,400.

"Sokongan belian berterusan dijangka dapat mendorong bursa tempatan untuk menguji semula paras rintangan 1,430 sebaliknya paras sokongan segera ditetapkan pada paras 1,380," menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Setakat 9.37 pagi, harga minyak mentah Brent meningkat 1.44 peratus kepada US$35.31 setong.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals meningkat 17 sen kepada RM5.73, Public Bank naik 24 sen kepada RM15.60, Maybank menokok lapan sen kepada RM7.49, Genting menambah 16 sen kepada RM4.14 dan Tenaga meningkat 10 sen kepada RM12. 22.

Saham paling aktif dikuasai kaunter berkaitan minyak dan gas dengan Velesto naik dua sen kepada 19 sen, Sapura Energy menokok satu sen kepada 11 sen, Icon Offshore dan KNM masing-masing menambah 2.5 sen kepada 15 sen dan 26.5 sen.

Kaunter berkaitan teknologi Eduspec naik setengah sen kepada 3.5 sen.

Saham untung ialah KLK, yang meningkat 44 sen kepada RM20.94 sementara saham rugi Kossan merosot 35 sen kepada RM7.38.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 99.97 mata kepada 10,079.30, Indeks FBMT 100 naik 93.42 mata kepada 9,908.86, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 85.14 mata pada 11,385.06.

FBM ACE menambah 42.05 mata kepada 5,445.36 dan FBM 70 melonjak 180.64 mata kepada 12,511.08.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 54.37 mata kepada 896.58 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 146.68 mata kepada 12,477.77.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.99 mata kepada 123.58 dan Indeks Perladangan menambah 59.46 mata kepada 6,393.14.

-- BERNAMA