Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah akan menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada pemberi maklumat kes pembunuhan seekor gajah jantan di Sungai Udin, Kalabakan, Tawau, baru-baru ini.

Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, gajah jenis Pygmy Borneo berusia antara 20 atau 30 tahun itu ditemukan mati dengan keadaan bangkainya mempunyai 70 bekas luka dipercayai kesan tembakan peluru.

Beliau berkata, untuk mengesan pihak terlibat yang disyaki pemburu haram bagi mendapatkan gading gajah tersebut, pihaknya membuat inisiatif tawaran wang tunai berkenaan kepada individu-individu yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu.

Jelasnya, JHL kini melaksanakan siasatan menyeluruh berhubung kes itu selepas pihaknya menerima maklumat awal mengenainya pada 25 September lalu.

"Kita akan teruskan siasat, kita perlu sesiapa yang mungkin mempunyai maklumat mengenai pembunuhan ini untuk tampil memberi maklumat kepada jabatan dan jabatan boleh menawarkan ganjaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Kota Kinabalu, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Augustine berkata, hasil bedah siasat awal menemukan sebutir peluru di bahagian tengkorak kepala gajah terbabit.

Tambah beliau, pihaknya turut tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat menggunakan senapang patah sebagai senjata membunuh gajah itu.

"Berdasarkan bedah siasat dijalankan oleh pegawai veterinar kita yang telah menjalankan bedah siasat itu terdapat kesan lebih 70 kesan tembakan pada badan kiri dan kanan gajah tersebut.

"Itulah kemungkinan gajah tersebut terseksa kesakitan sebelum salah satu butir peluru terkena di kepala gajah itu," katanya.

Augustine dalam pada masa yang sama turut mendedahkan, hasil temuramah beberapa penduduk kampung di kawasan itu, pihaknya gagal menemukan sebarang jejak untuk mengesan suspek terlibat.

"Setakat ini kita tidak mendapat maklumat yang sedemikian. Staf di situ sudah temu ramah beberapa orang penduduk kampung dan tidak pasti apa yang berlaku.

"Mereka kata mereka tidak dengar pun tembakan," katanya.

BACA: Gajah pygmy dibunuh kejam: Polis lancar Operasi Khazanah buru suspek

BACA: Gajah pygmy dibunuh kejam, 70 peluru ditemui dalam badan

Untuk rekod, pada 25 September lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah berkenaan dalam keadaan terduduk di tebing Sungai Udin, Kalabakan sebelum menyebarkan gambar haiwan berkenaan di media sosial.

Dengan kejadian terbaru di Kalabakan itu, pihak JHL merekodkan sekurang-kurangnya 100 kematian melibatkan gajah jenis Pygmy Borneo di Sabah sejak tahun 2010.

Menurut Augustine lagi, beliau turut menggesa kepada orang ramai terutamanya penduduk kampung yang terlibat supaya mengadukan hal tanaman mereka diganggu kawanan gajah kepada JHL supaya tindakan lanjut dilakukan.

Langkah itu juga bertujuan mengelak daripada insiden membunuh hidupan liar tersebut yang kini diancam kepupusan tersebut sebagai tindakan membalas dendam atau sebagainya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 25/28 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori.