Seorang buruh binaan cedera dipercayai terkena peluru sesat ketika sedang menjerat ayam hutan di Kampung Besul Lama, Bukit Besi di sini, pada Jumaat.

Mangsa yang berusia 34 tahun terpaksa menahan kesakitan dan pulang ke rumahnya untuk mendapatkan bantuan, dalam kejadian jam 2.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata terdahulu mangsa dikatakan ke kawasan terbabit yang terletak berhampiran rumahnya dengan menaiki sebuah motosikal seorang diri.

"Ketika sedang duduk untuk menyiapkan jerat, mangsa terdengar bunyi tembakan sebelum berasa sakit di beberapa bahagian kanan badan.

"Susulan itu mangsa bergegas pulang ke rumahnya untuk meminta bantuan dan memaklumkan kepada bapanya dia terkena peluru sesat," katanya di sini, pada Sabtu.

Katanya, bapa mangsa menghantarnya ke Klinik Kesihatan Bukit Besi sebelum dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, ujian X-ray mendapati terdapat tiga peluru masing-masing di bahagian perut, pinggul dan tulang belakang mangsa.

Baharudin berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pembedahan mengeluarkan peluru terbabit.

Jelasnya siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan sedang dijalankan.