Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini kerana merogol sepupu perempuan bawah umur tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 21 tahun telah merogol sepupunya yang ketika kejadian berusia 11 tahun 4 bulan pada jam 3 pagi di sebuah rumah di Kampung Muka Bukit daerah Machang, Jun tahun lalu.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwaraya Norazlinawati Mohd Arshad memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan serius selain mengambil kira kepentingan awam.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh di tangkap iaitu pada 5 Julai 2018.