Polis menahan seorang buruh dan merampas dadah bernilai RM10,000 yang disembunyikan di dalam sebuah raga dalam satu serbuan di Kampung Jambu Pokok, Merchang, di sini.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata ketika serbuan pada 14 Jan lepas, suspek hanya bersendirian di rumah manakala isteri dan anaknya telah keluar.

"Hasil serbuan di rumah berkenaan, pihak polis telah menjumpai sebuah raga di bahagian dapur yang mana di dalamnya terdapat satu botol plastik lutsinar bertudung merah berisi bungkusan surat khabar yang berikat gelang getah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Suhaimi berkata di dalam bungkusan surat khabar itu, terdapat bungkusan kertas kuning yang mengandungi lima plastik biru berisi pil-pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah jenis Yaba.

Katanya, dadah yang rampas itu disyaki untuk dipasarkan di sekitar Dungun dan Merchang, di sini.

Jumlah keseluruhan pil yang dirampas adalah sebanyak 990 biji pil berwarna merah dan 10 biji pil berwarna hijau bernilai RM10,000 serta wang tunai RM200.

Suhaimi berkata suspek sebelum ini mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Suspek kini ditahan reman sehingga 21 Jan untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan pada 16 Jan, pihak polis turut menahan empat lelaki berusia 19 hingga 43 tahun di sebuah bangsal membaiki motosikal di Kampung Pulau Kerengga kerana memiliki dan positif dadah.

Menurut Suhaimi, bengkel berkenaan disyaki milik seorang daripada suspek berusia 33 tahun dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM2,170.

Kesemua suspek telah ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA