Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas tuduhan menyeleludup 4 migran warga Myanmar menggunakan kereta persendirian.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Radzi Halim, 37 tahun, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Pasir Mas Rashid Mustafa.

Tertuduh yang berasal dari Kok Lanas, Ketereh, didakwa melakukan kesalahan di Pos Sekatan Jalan Raya Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Simpang Empat Salam, Rantau Panjang pada 7.30 malam, 12 Dis lepas.




Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Dis untuk sebutan semula kes.