Dua lelaki masing-masing didakwa atas empat dan lima pertuduhan di Mahkamah Seksyen Kangar hari ini termasuk kerana menghalang dan mencederakan anggota polis, pada Isnin.

Buruh binaan, Muhammad Akmal Saberi, 22, dan pesawah, Mohd Amirul Izzat Jafri, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, Akmal dan Amirul dituduh secara bersama-sama menghalang tugas anggota polis, yang sedang menjalankan kewajipannya sebagai seorang anggota polis di sebuah rumah di Kampung Padang Besar dekat Arau pada 1.45 petang Isnin.

Bagi kes itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Akmal turut dituduh secara sendirian, kerana mendatangkan kecederaan kepada Koperal Mohamad Fairizuan Jamaluddin yang mengalami patah tulang rusuk kiri akibat pergelutan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda.

Bagi tiga lagi pertuduhan, kedua mereka dituduh bersama memiliki dadah jenis methamphetamine dan heroin pelbagai berat yang didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jodia Por Yi Tying, sementara tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Julai depan untuk tarikh serahan dokumen dan 18 September untuk sebutan semula kes berkaitan dadah.

Akmal dibenarkan ikat jamin RM13,000 manakala Amirul, ditetapkan sebanyak RM9,000.

Sebelum ini, menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, seorang anggotanya patah tulang rusuk kiri dalam satu pergelutan ketika menyerbu sebuah rumah di Kampung Padang Besar dekat Arau, yang berkaitan dengan kes dadah.