Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan menghalang tugas dan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis dengan keretanya ketika melarikan diri sambil membawa sejumlah dadah, 570 kilogram daun ketum dan parang pada 11 Julai lalu di Felda Mata Ayer, Padang Besar.

Tertuduh, Zaidi Baharom, 43, yang juga duda anak satu membuat pengakuan itu selepas empat pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa telah menghalang tugas penjawat awam yang juga seorang anggota polis daripada menahan kereta yang dipandunya di Jalan Felda Mata Ayer pada 12.53 tengah hari, 11 Julai lalu.

BACA: Dua polis cedera, penyeludup ketum rempuh kereta pengiring Menteri Pelancongan

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM10,000 atau keduanya sekali. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membawa dan memiliki bahan psikotropik seberat 570 kilogram yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 0.88 gram yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memandu kereta di bawah pengaruh dadah sehingga tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota polis yang ketika itu menaiki sebuah kereta milik polis yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1947.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan Kampung Felda Mata Ayer, Padang Besar pada antara pukul 12.20 hingga 12.53 tengah hari, 11 Julai lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Hajar Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,500 bagi empat pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan sebelum menetapkan sebutan semula kes menghalang penjawat awam pada 28 Ogos dan kes berkaitan dadah, ketum dan mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis pada 5 Oktober ini.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan membawa parang di dalam kereta yang dipandunya yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad dengan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali dan tertuduh diwakili peguam YBGK, Herdawati Harun.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 28 Ogos depan.