Seorang lelaki direman 14 hari kerana dipercayai mencabul kehormatan seorang pelancong warga Britain di tepi jalan Lebuh Acheh di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek warga Bangladesh dan berusia 38 tahun itu direman bermula 14 hingga 27 September ini untuk disoal siasat.

Menurutnya, dalam kejadian pada Jumaat lalu, mangsa yang juga seorang peguam sedang berjalan di tepi jalan berhampiran Masjid Lebuh Acheh, kira-kira jam 8.45 malam.

“Ketika mangsa sedang leka berjalan, tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali datang dari arah hadapan mangsa lalu memegang dan meraba buah dada kirinya. Mangsa yang terkejut terus menjerit dan lelaki tersebut cuba melarikan diri.

“Namun cubaannya itu gagal apabila dia berjaya ditangkap dan ditahan orang awam yang berada di situ. Polis yang tiba terus menahan lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Tambahnya, mangsa yang berusia 33 tahun itu masuk ke negara ini pada 2 September lalu dan tiba di Pulau Pinang Rabu lalu.

“Tiada saksi bebas dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian membabitkan mangsa yang tinggal di sebuah hotel di Lorong Carnavon sejak berada tiba di Pulau Pinang pada 12 September lalu.

“Suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada permit yang sah,” katanya.