Cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk melaksanakan projek kereta kabel dikenali sebagai Penang Sky Cab tidak dipersetujui Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (LPPP) kerana dikhuatiri akan menjejaskan operasi pelabuhan itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perkara itu diputuskan LPPP selepas pihak kerajaan negeri memohon pandangan daripada lembaga berkenaan mengenai cadangan itu.

"Kita telah maklumkan bahawa kita tidak bersetuju (kepada kerajaan negeri) kerana jajaran (laluan Sky Cab) yang dicadangkan akan menjejas perjalanan atau pelabuhan kapal di sekitar laut berdekatan pelabuhan.

"Kita nyatakan pendirian kita kalau nak teruskan projek itu, kena beri syarat-syarat tertentu di mana kena penuhi syarat-syarat ditetapkan Jabatan Laut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sky Cab merupakan salah satu projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), selain pembinaan terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dan tiga lebuh raya ekspres yang keseluruhannya melibatkan kos RM27 bilion.

Sementara itu mengenai pembinaan terowong dasar laut, Liow berkata pihaknya masih belum menerima apa-apa laporan berhubung perkara berkenaan.

"Memang Kerajaan Persekutuan minat nak tahu apa yang (kerajaan negeri) nak buat, sama ada terowong itu akan menjejas pelabuhan dan dasar laut.

“Kita tidak ada maklumat langsung berhubung cadangan membina terowong itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui LPPP akan memastikan perkhidmatan feri akan terus dimantapkan demi kepuasan penumpang.