Cadangan hapuskan hukuman buang sekolah boleh dipertimbangkan - Mahdzir

Cadangan hapuskan hukuman buang sekolah boleh dipertimbangkan - Mahdzir
Kementerian Pendidikan sudi duduk semeja bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi berunding mengenai cadangan menghapuskan hukuman buang sekolah. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedia duduk semeja bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi berunding mengenai cadangan menghapuskan hukuman buang sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini tindakan buang sekolah hanya diambil sebagai langkah terakhir.
"Namun apabila Datuk Seri Rohani (Abdul Karim) mencadangkan perkara tersebut, kami sudi duduk berbincang mengenainya," kata Mahdzir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Laman Media ketika Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mencadangkan agar tindakan buang sekolah yang dikenakan terhadap pelajar bermasalah di negara ini dikaji semula.

Tambah beliau, ini kerana tindakan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah berhubung pelajar terbabit.