Kertas kabinet berhubung cadangan penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan akan dibentangkan minggu hadapan, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata majlis yang akan dianggotai lima hingga tujuh pakar pelbagai bidang itu akan berperanan sebagai badan penasihat, penyelesai masalah dan pemikir dalam melonjakkan penyampaian sektor penjagaan kesihatan.

"Ahli majlis tidak semestinya (ahli) perubatan tetapi ada juga ahli ekonomi. Kita akan pilih yang paling baik di kalangan terbaik bagi memperkasa Kementerian Kesihatan serta menjadikan ia bertaraf berkelas dunia," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.

Menurutnya, tempoh menunggu bertemu doktor yang lama terutamanya pakar, bekalan ubat-ubatan terganggu dan kesesakan di kemudahan kesihatan antara fokus utama untuk ditangani dalam operasi perkhidmatan kesihatan.

Selain itu, katanya tempoh menunggu siasatan lama serta peningkatan kos penjagaan kesihatan terutama di sektor swasta turut diberi perhatian.

Dzulkefly berkata Klinik 1Malaysia di seluruh negara akan dijenamakan semula sebagai Klinik Rakyat dan ia akan menempatkan lebih ramai doktor untuk meningkatkan keupayaan operasi.

"Penempatan lebih ramai doktor tidak menjadi masalah kerana kita menghasilkan kira-kira 5,000 doktor setiap tahun, cuma fasiliti untuk menempatkan mereka kurang," katanya.

Berhubung peruntukan kerajaan bagi kesihatan, Dzulkefly berkata kementerian itu memerlukan peruntukan lebih tinggi bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus diperkasakan.

"Dalam tempoh lima tahun ini, diharap sektor kesihatan dapat menyumbang sekurang-kurang enam hingga tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Dzukefly berkata Skim Peduli Sihat yang ditangguhkan sementara, diharap dapat dimasukkan dalam peruntukan Bajet 2019.

Skim itu membabitkan cadangan pemberian RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) merupakan antara janji 100 hari Pakatan Harapan.