Tindakan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori kepada hukuman penjara seumur hidup mencetuskan kebimbangan dan sesuatu yang sukar untuk diterima.

Justeru Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menggesa agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula untuk memansuhkan hukuman tersebut yang dilihat lebih membela pesalah jenayah berbanding isu keselamatan awam.

“Ini akan mendorong penjenayah lebih berani melakukan kerja jahat sebab mereka tahu jika ditangkap sekalipun, berapa banyak dadah dibawa atau melibatkan kematian, mereka tahu tiada hukuman mati dikenakan," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Putra di sini pada Khamis.

Ibrahim dalam pada itu merasakan wujud elemen tekanan yang diterima oleh pihak kerajaan dan berkemungkinan terdapat individu yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan pemansuhan ini.

“Siapa yang nak sangat pinda undang-undang ini dan saya percaya kerajaan ada menerima tekanan termasuk Perdana Menteri untuk meminda akta ini kepada hukuman mati mandatori kepada penjara seumur hidup," katanya.

Tegas Ibrahim lagi, pemansuhan hukuman berkenaan jelas tidak memberikan keadilan terutamanya kepada keluarga yang menjadi mangsa pesalah jenayah.

Justeru beliau menggesa agar pihak kerajaan segera mempertimbangkan semula keputusan itu atau pihak Putra akan membawa isu berkenaan sebagai bahan pilihan raya ke-15 dan sebahagian daripada manifiesto parti.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi satu kenyataan memaklumkan untuk mempertimbangkan cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi menggantikan hukuman penjara seumur hidup.