Cadangan pembukaan sempadan 24 jam Malaysia Thailand melibatkan Rantau Panjang-Sungai Golok, Takbai-Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga-Buketa, memerlukan kajian menyeluruh.

Gabenor wilayah Narathiwat, Ekarat Lisen berkata cadangan pembukaan itu juga perlu mengambil kira pengawasan dan penguatkuasaan bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Malah menurutnya pandangan pengusaha hotel, penggiat industri pelancongan, peniaga dan penduduk kedua-dua negara juga wajar diambil kira.

"Jika bercadang nak buka sempadan 24 jam, kena tengok di Sadao, di mana bandar tersebut sibuk dengan kemasukan kenderaan dari kedua-dua negara. Selain itu perlu dapatkan pandangan semua pihak, hotel dan sebagainya," katanya.

Bercakap kepada media beliau menjelaskan pembukaan sempadan 24 jam boleh dilakukan sekiranya menguntungkan semua pihak dan merancakkan ekonomi di sempadan.

Pekan Danok sempadan Bukit Kayu Hitam dilihat maju berbanding Sungai Golok dan Takbai dengan kemasukan ramai pelancongan selain perniagaan yang dibuka sehingga waktu malam.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan cadangan pembukaan pintu sempadan 24 jam bagi tujuan merancakkan ekonomi antara kedua-dua negara.