Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyertai Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2019 memperoleh reaksi positif mengenai produk tempatan daripada masyarakat di Nanning, China.

Mereka turut menyatakan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat China terhadap produk tempatan membolehkan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan mudah di samping mengenal pasti potensi rakan kongsi di Nanning.

Menurut seorang peniaga tempatan Vincent Lau yang menjual ais krim berperisa buah-buahan, CAEXPO adalah platform yang penting buat PKS menembusi pasaran besar China.

"Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) banyak membantu kami untuk eksport produk kami ke tanah besar China dan tanpa mereka kami sukar untuk sampai ke sini disebabkan kos yang agak tinggi.

"CAEXPO adalah platform yang sangat penting buat PKS kerana mempunyai jumlah pelawat yang tinggi sehingga satu atau dua juta dan di sini juga kami dapat lakukan padanan perniagaan dengan syarikat China serta mencari pelanggan tetap," katanya yang sudah enam kali menyertai pameran itu.

Sementara itu, seorang peniaga Kuan Wai Han yang telah kali ketiga menyertai CAEXPO dengan produk pes masakan berkata, setiap tahun nilai jualan produknya kian meningkat serta kini beliau mampu melebarkan rangkaian perniagaannya ke wilayah lain di Selatan China.

"Kali ini punya CAEXPO saya dapat respons yang di luar jangkaan sampai produk yang saya bawa tidak mencukupi, kerana baru hari kedua produk saya telah hampir habis.

"Untuk tambat hati pembeli China yang penting adalah produk perlu bagus dan berkualiti, (ambil perhatian pada) strategi harga serta platform untuk pasarkan secara atas talian kerana sekarang ini platform e-dagang di China banyak dan ia dapat membantu promosi produk dengan lebih cepat.

Bagi peniaga produk ubat gigi, Faizul Jasemi yang pertama kali menyertai CAEXPO, beliau kini lebih mengetahui citarasa masyarakat China dan melihat kepada peluang lebih besar untuk membawa masuk produk ke Nanning dan wilayah China yang lain.

"Kalau diberi peluang sekali lagi, kami mahu datang lagi sebab bila kami keluar Malaysia barulah nampak ada pasaran yang sangat besar dan luas untuk kembangkan perniagaan malah bukan saja di China, tapi di Eropah juga," jelasnya.

Dalam pada itu, menurut peniaga kopi berasaskan durian Musang King, Azizul Rahim Mohd Hussain, beliau menfokuskan kepada mencari rakan niaga di Nanning dan memperbanyakkan lagi ejen untuk menjual produk di pasaran China.

"Ini kali pertama saya menyertai CAEXPO dan misi saya adalah untuk perkenalkan produk jenama Malaysia di sini dengan lebih meluas, kami sasarkan lebih banyak ejen dan pengedar untuk luaskan lagi capaian pasaran ke wilayah lain seperti di Shenzen dan Macau sekali gus bertapak di sini," ujarnya.

Selain penjualan produk, Matrade juga mengadakan program padanan perniagaan B2B Malaysia-China yang membolehkan peniaga tempatan mencari rakan kongsi di China untuk meluaskan pasaran.

CAEXPO 2019 berlangsung dari 21 hingga 24 September ini melibatkan delegasi Malaysia seramai 167 PKS dan agensi kerajaan.