Kadar baharu caj visa bagi menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci akan diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas ia menerima maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata selepas mendapat laporan rasmi itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua agensi pelancongan yang mengendalikan perkhidmatan umrah dan haji bagi menjelaskan maklumat lanjut berhubung kadar baharu caj visa itu.

"Itu (menaikkan caj visa) hak kerajaan Arab Saudi. Mungkin itu satu cara nak kawal limpahan jemaah terutamanya pada Ramadan kerana terlalu ramai yang ingin melakukan umrah pada waktu itu.

"Kita masih menunggu laporan tersebut. Kita akan akur dengan keputusan mereka," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal asing, Saudi Gazette, pada Ogos lepas bahawa kerajaan Arab Saudi dalam mesyuarat Kabinetnya memutuskan akan menaikkan kadar caj visa haji dan umrah berkuat kuasa 2 Okt ini.

Laporan itu menyatakan jemaah haji dan umrah yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama dibenar melaksanakannya secara percuma kemasukan kedua akan dikenakan bayaran 2,000 riyal (RM2,150) seorang.

Abdul Azeez berkata walaupun berdepan dengan kenaikan caj itu, kerjasama baik di antara TH dengan kerajaan Arab Saudi akan terus dipertingkat bagi memastikan jemaah dapat memperoleh manfaatnya.

"Apa yang penting keakraban di antara pemimpin Arab Saudi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus terjalin sehingga TH diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi," katanya.

Ditanya mengenai status pampasan kepada keluarga mangsa tragedi kren runtuh di Makkah yang berlaku pada musim haji tahun lepas, beliau yakin kerajaan Arab Saudi akan menunaikan janji mereka.

"Kita percaya Arab Saudi pasti berikan pampasan ini cuma saya harap kita berikan masa kepada mereka untuk menyelesaikan perkara ini kerana terdapat beberapa pertindihan nama untuk mereka menguruskan pemberian pampasan ini," katanya.

Dalam kejadian 11 Sept tahun lalu, tujuh warga Malaysia adalah antara lebih 100 jemaah haji yang terkorban, manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram.

Menurut Saudi Press Agency, Penjaga Dua Kota Suci iaitu Raja Salman memerintahkan pembayaran SR1 juta (RM1.14 juta) kepada keluarga mangsa yang terkorban, SR1 juta kepada mereka yang cedera hingga mengakibatkan hilang upaya kekal, dan SR500,000 kepada tiap seorang yang cedera.

Terdahulu Abdul Azeez menziarahi dan menyampaikan sumbangan insurans dan wang khairat kematian kepada waris petugas haji, Sajari Sawi, 56, yang meninggal dunia di Tanah Suci pada 14 Sept lepas di kediamannya di Puchong di sini.

Allahyarham Sajari yang merupakan anggota di Jabatan Khidmat Pendeposit dan Operasi di Ibu Pejabat TH Kuala Lumpur meninggal dunia akibat serangan jantung dan dikebumikan di Perkuburan Syaraek, Makkah.

Abdul Azeez turut menyifatkan allahyarham, yang bertugas sebagai Penolong Pengurus Zon 1 (Madinah), sebagai seorang yang berdedikasi serta bertanggungjawab.

Sajari, yang berkhidmat dengan TH sejak 1985, meninggalkan isteri Faridah Harun, 56, dan tiga anak Nurul Syazwani, 25, Nurul Farhanah, 22, dan Muhammad Syamil, 21. - BERNAMA