Caj kuarantin yang dikenakan di Insitut Latihan Awam (ILA) dikurangkan dari RM150 sebelum ini kepada RM100 sehari bagi setiap individu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, kos kuarantin di hotel adalah kekal RM150.

"Kita dengar ada aduan daripada mereka di pusat kuarantin di ILA bahawa kos mereka bayar sama dengan kos di hotel sedangkan fasiliti mereka tinggal di ILA kurang banding di hotel.

"Sehubungan itu, kita semak semula dan mesyuarat bersetuju memberikan pengurangan caj kuarantin di ILA dr RM150 kepada RM100 sehari bagi individu," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini pada Isnin.

Tambahnya, bagi keluarga yang sama iaitu ibu, bapa dan anak bawah 12 tahun, mereka dibenarkan untuk menginap di dalam satu bilik yang sama.

"Individu kedua yang berkongsi bilik akan dikenakan caj RM50 sehari untuk kos makan dan minum. Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, tiada caj yang dikenakan termasuk kepada seorang penjaga yang menemani," ujarnya.

Beliau berkata, caj yang dikenakan di ILA adalah lebih rendah berbanding hotel kerana fasiliti di ILA tidak sama seperti di hotel.

"Permohonan untuk dikuarantinkan di ILA adalah tertakluk kepada ketersediaan bilik memandangkan bilangan yang terhad. Bagi mereka yang dikuarantin di hotel, mereka boleh menaik taraf bilik tetapi atas tanggungan sendiri," kata beliau.

Dalam pada itu, Mesyuarat Khas Menteri juga bersetuju untuk membuat penambahan pengecualian ke atas bayaran kos kuarantin selepas diberikan kepada pemegang kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pelajar dari keluarga B40.

Justeru, Mesyuarat telah bersetuju untuk turut memberi pengecualian kos kuarantin kepada
warganegara dari keluarga B-40 dan banduan penjara yang baru dibebaskan di negara jiran yang tidak mampu dan tiada sumber kewangan.

"Ada kes keluarga melawat anak mereka di luar negara dan balik kena kuarantin. Tetapi syaratnya mesti ada bukti pendapatan keluarga B40 . Begitu juga banduan penjara yang baru dibebaskan di negara jiran yang tidak mampu dan tiada sumber kewangan.

"Malah, ada juga rayuan mereka yang ditamatkan pekerjaan. Mereka balik atau terkandas lama di luar negara dan tiada wang untuk bayar kos kuarantin. Jadi mereka boleh buat rayuan dengan NADMA dan perlu buktikan mereka tiada sumber kewangan," ujarnya lagi.