Bank Negara Malaysia (BNM) diminta campur tangan dalam isu caj perkhidmatan yang dikenakan pihak bank ke atas pelanggan yang melakukan urusan pembayaran tertentu di kaunter bank dan mesin deposit tunai (CDM).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihak bank turut disaran mengkaji semula pelaksanaan caj perkhidmatan tersebut yang dilihat membebankan pengguna.

Menurutnya, kebanyakan bank menggalakkan pelanggan menggunakan perkhidmatan di mesin pengeluaran wang (ATM) dan CDM dengan mengurangkan jumlah kaunter di bank peringkat cawangan.

“Kita maklum bahawa ada pelanggan yang sukar ke CDM seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Mereka ini lebih mudah berurusan di kaunter dan perlu dikecualikan daripada sebarang caj.

“Masalahnya perkhidmatan di CDM pun dikenakan caj sedangkan CDM menjimatkan operasi bank dan pekerja. Ini seolah-olah pelanggan dikenakan bayaran sebab guna perkhidmatan bank.

Mohd Yusof berkata, bank tidak sewajarnya mengaut keuntungan dengan cara sedemikian kerana sudah memperoleh keuntungan melalui simpanan pelanggan dan perkhidmatan pinjaman.

“Ada caj bayaran yang tidak sewajarnya. Fomca harap pihak bank kaji semula dan BNM perlu campur tangan dalam perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, pihak bank turut mengenakan caj tertentu ke atas pelanggan yang menggunakan perkhidmatan atas talian dengan kadar yang hampir menyamai caj di kaunter.