Kenaikan tambang feri yang menghubungkan Langkawi menjejaskan kemeriahan sambutan tahun baharu di pulau ini apabila mulai hari ini, penumpang dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM3 untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Penumpang perlu berbuat demikian apabila penguasaha feri mengenakan caj pengurusan, yang mereka dakwa sama seperti caj perkhidmatan yang dikenakan syarikat penerbangan, di samping untuk menggalakkan orang ramai membeli tiket secara dalam talian.

Berikutan caj yang dikenakan itu, setiap penumpang yang membuat perjalanan antara Langkawi dan Kuala Kedah kini perlu membayar RM26, berbanding RM23 sebelum ini, manakala tambang bagi perjalanan Kuala Perlis - Langkawi kini meningkat kepada RM21 daripada RM18.

Selain dua laluan itu, feri penumpang di sini juga menyediakan perkhidmatan ke Pulau Pinang serta Satun dan Koh Lipe di Selatan Thailand.

Caj tambahan itu bagaimanapun tidak dikenakan terhadap penumpang yang memiliki MyKad beralamat di Langkawi.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah Nor Saidi Nanyan berkata Jabatan Laut di sini memaklumkan kepada beliau bahawa pengusaha feri telah mengemukakan niat mereka untuk mengenakan caj tambahan itu, tetapi jabatan berkenaan belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Katanya, adalah tidak munasabah bagi pengusaha feri membuat dakwaan bahawa caj pengurusan yang mereka kenakan itu adalah sama seperti caj perkhidmatan yang dikenakan syarikat penerbangan, lebih-lebih lagi apabila tahap perkhidmatan dalam pelayaran mereka masih memerlukan banyak penambahbaikan.

"Sungguh menyakitkan hati apabila bangun sahaja daripada tidur pada hari tahun baharu, terdengar khabar mengejutkan bahawa tambang feri telah naik (berikutan caj pengurusan yang diperkenalkan itu)," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau akan mendesak agar caj itu dihentikan dengan serta-merta.

Beliau juga mempersoalkan cara pengusaha berkenaan mengenakan caj itu tanpa memberi notis, tetapi mereka dapat pula melaraskan mesin tiket untuk mencetak tambang baharu.

"Ini sama seperti mengambil kesempatan dan akan hanya mencemarkan imej kerajaan, yang tiada kena mengena langsung dengan kenaikan ini," katanya.

Naib pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis Razmi Rahmat berkata caj tambahan bagi tambang feri itu dijangka memberi kesan domino terhadap pembangunan pelancongan di pulau ini.

Kata beliau, sejak 2017, pelancong ke pulau ini telah dikenakan caj promosi sebanyak RM3 oleh pihak berkuasa tempatan dan cukai pelancongan sebanyak RM10 oleh Kerajaan Persekutuan.

"Sekarang, pengusaha feri pula mengenakan caj tambahan ini, sedangkan hotel di Langkawi tidak langsung menaikkan kadar mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Langkawi Ahmad Marzukhi Shariat pula berkata lebih banyak pengusaha feri perlu dibenarkan menjalankan operasi bagi menyekat sebarang syarikat konsortium daripada menentukan kadar tambang serta caj lain dengan sesuka hati mereka.

"Kami meminta kerajaan supaya memberi bebarapa bentuk galakkan agar penggiat baharu turut terlibat dalam perkhidmatan feri dan bagi pengusaha sedia ada, kami amat mengharapkan mereka mematuhi peraturan dan memikirkan tentang keseluruhan kebajikan orang Langkawi," katanya.

-- BERNAMA