Tutup

'Cakap tak serupa bikin' - Kod etika profesion undang-undang dilanggar?

'Cakap tak serupa bikin' - Kod etika profesion undang-undang dilanggar?
Rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada 'Malaysia Baharu' bagi memperbetulkan kesalahan 'Malaysia Lama'. -Gambar hiasan
RAKYAT Malaysia ada yang terkesima dan ternganga menonton video memaparkan Menteri Undang-undang, Datuk Liew Vui Keong, Peguam Negara (AG), Tommy Thomas dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malunjum, antara lain, dilihat sedang berdansa ria bersama peguambela dan peguamcara Siti Kasim dan Datuk Ambiga Sreenavasan pada malam Gala yang dianjurkan bersempena Pembukaan Tahun Perundangan 2019.

Sebenarnya tiada isu berkenaan tarian dansa ria tersebut kerana Malaysia adalah negara majoriti Muslim yang menghormati semua budaya.
Disebabkan ini, Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah negara paling aman di dunia oleh Indeks Keamanan Global pada tahun 2018.

Akan tetapi, adakah beretika bagi hakim-hakim dan pegawai-pegawai perundangan tinggi kerajaan secara terbuka bergaul dengan para peguam-peguam peribadi?
Tidak lama dulu, Datuk Liew Vui Keong, Menteri Undang-undang ada membuat kenyataan mengenai isu Kursus Bar Umum (CBC). CBC ini sedang dinilai oleh Kerajaan bagi menggantikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP)

Graduan undang-undang dari universiti yang belum diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB) dikehendaki untuk lulus peperiksaan CLP bagi melayakkan diri sebagai ‘orang-orang berkelayakan’ di bawah Seksyen 3 Akta Profesion Undang-undang 1976 – syarat sebelum menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan.

Sewaktu latihan selama sembilan bulan tersebut, pelatih dikehendaki mempelajari sisi praktikal dunia guaman dan menduduki ujian ‘Kursus Etika’ kerana tanpanya, pelatih tidak akan boleh didaftaraikan sebagai Peguambela dan Peguamcara setelah tempoh sembilan bulan berakhir.

Pokoknya, syarat kemasukan ke BAR Malaysia ini dibikin sulit dan payah bagi menjaga ketinggian dan prestij status profesion undang-undang serta memastikan etika profesional dipatuhi setiap masa.

Pada tahun 2016, tular sebuah video seorang lelaki menyerupai bekas AG, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sedang berdansa ria bersama bekas menteri-menteri dari kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seorang peguam terkenal, Haniff Khatri lantas tanpa membuang masa mengkritik perlakuan ini dengan menyatakan bahawa ia tidak patut dilakukan oleh seorang AG.

Pada tahun 2008, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Salehuddin Saidin yang bertanggungjawab ke atas kes pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu digantikan dengan DPP lain kerana beliau dilihat bermain badminton dengan hakim yang menghakimi kes tersebut, Datuk Mohd Zaki Md Yasin.

Pada tahun 2017, Siti Kasim telah didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat-penjawat awam sewaktu serbuan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilakukan ke atas pertandingan ‘Ratu Cantik’ anjuran golongan mak nyah dan transgender pada tahun 2016.

Adakah patut bagi seorang yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah dilihat berdansa (dan bergaul) dengan hakim-hakim dan pendakwa raya-pendakwa raya yang lantas boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti profesion ini di mata masyarakat?

Seksyen 5 Kod Etika Hakim 2009 menyebut bahawa seorang hakim perlu melaksanakan tugasnya secara bebas tanpa apa-apa pengaruh dari mana-mana pihak.

Selain itu, Seksyen 8 (2) Kod yang sama memperuntukkan seorang hakim perlu meminimumkan risiko konflik kepentingan dengan tanggungjawab kehakimannya sewaktu menjalani tugas-tugas di luar bidang kehakiman dengan menghindar daripada bergaul rapat dengan individu-individu dalam profesion undang-undang, yang mana boleh menimbulkan keraguan munasabah yang menjurus kepada penghakiman berat sebelah.

Lord Hewart dalam kes R vs Sussex Justices ada menyebut bahawa ‘keadilan bukan sahaja mesti dijalankan, malah perlu dilihat sudah dijalankan’.

Banyak komentar di luar sana yang dilihat terkeliru. Isu di sini bukanlah isu tarian, tetapi lebih kepada siapa yang menari di pentas yang sama.

Bekas AG telah dikritik kerana menari bersama Menteri-menteri BN sewaktu sambutan Merdeka pada tahun 2016. Apa bezanya dengan yang berlaku sekarang ini?

Rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada Malaysia Baharu bagi memperbetulkan kesalahan Malaysia Lama.

Sekiranya Malaysia Baharu masih mengamalkan amalan tidak betul yang diwarisi dari pemerintahan sebelum ini, apa gunanya rakyat ubah pemimpin?

Pelajar undang-undang diwajibkan untuk menjalani latihan dalam kamar yang sulit penuh dengan cabaran serta diajarkan dengan kepentingan etika kepeguaman secara berulang-ulang bagi menyanjung tinggi prestij profesion ini.

Mungkin tiba masanya bagi ‘pihak berkuasa di atas sana’ mempertimbangkan untuk mengulang kaji semula kitab-kitab undang-undang yang pernah mereka pelajari bagi benar-benar mengamalkan apa yang diajarkan secara profesional.

Pepatah Melayu ada menyatakan, ‘kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’. Jangan sekadar cakap tak serupa bikin semata-mata.



Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia serta seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang di Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia. Mohd Hazmi juga adalah seorang peguambela dan peguamcara (tidak beramal) sejak 2007.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.


Tag: peguam, undang-undang, Datuk Liew Vui Keong, Tommy Thomas, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malunjum, Siti Kasim, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.