Senarai calon Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sedang disaring agensi tertentu bagi mengenal pasti calon benar-benar layak dan bersih bertanding.

Antara agensi yang dimaksudkan adalah Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, sehingga kini masih belum ada senarai muktamad kerana senarai calon yang ramai termasuk menyandang dan calon baharu.

“Senarai calon yang telah disaring akan dihantar kepada pimpinan pusat parti yang akan menentukan calon boleh menang,” kata Mohamad.

Jelasnya pemilihan calon bertanding kali ini berbeza kerana ia diputuskan pemimpin tertinggi parti dan bukannya badan perhubungan negeri seperti yang dilakukan sebelum ini.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak akur dengan keputusan Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak apabila nama calon diumumkan nanti.