Seorang daripada dua calon Bebas yang bertanding di kerusi Parlimen P124 Bandar Tun Razak, Sukeri Samat yakin berupaya muncul sebagai ‘giant killer’ menumbangkan calon-calon daripada Barisan Nasional dan Parti Keadilan Rakyat.



Keyakinan beliau bersandarkan kepada andaiannya bahawa majoriti pengundi di kawasan itu dahagakan khidmat seorang calon anak tempatan.

“Berdasarkan kepada kehendak pengundi, mereka mahu perubahan sebenar dilakukan oleh wakil rakyat mereka. Mereka mahukan seorang calon Melayu dan anak tempatan untuk mewakili mereka,” kata Sukeri kepada Astro AWANI.

Beliau ditemui semasa beramah mesra dengan penduduk di Pasar Pekan Sungai Besi, hari ini.



Kerusi P124 menyaksikan pertandingan empat penjuru. Penyandang daripada PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dicabar oleh calon muda daripada Barisan Nasional (BN), Tan Kok Eng, Sukeri serta seorang lagi calon bebas, Mokhtar Salahuddin.

Pada masa yang sama, Sukeri yakin pengundi Melayu yang merupakan pemilih majoriti di kerusi P124 akan memangkah lambang perahu kerana beliau lebih dikenali.

Walaupun ‘berperahu’, beliau yang giat berkempen menggunakan kombinasi bersemuka serta aktif di laman sosial Facebook yakin dapat memintas dua ‘bahtera’ BN dan PKR yang dilihat lebih mendominasi pentas saingan di P124.

“Ya, mereka jauh lebih besar tapi ikut penilaian saya masyarakat di bandar ini mahukan perkhidmatan yang lebih berkesan.

"Lihat calon sebelum ini, walaupun ada nama tapi masih gagal menaburkan khidmat masyarakat kepada penduduk setempat,” tegas Sukeri yang sebelum ini merupakan Setiausaha Bahagian UMNO Bandar Tun Razak.



Beliau antara 58 ahli UMNO yang dipecat oleh parti itu kerana bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum ini.

Parlimen Bandar Tun Razak mempunyai 90,993 pengundi berdaftar dengan 52.73 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu. Ini diikuti pengundi Cina sebanyak 37.4 peratus dan pengundi India 8.8 peratus.

Sejumlah 5,000 daripada pengundi di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak merupakan anggota tentera yang mengundi awal pada Selasa lepas.