Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bertekad melaksanakan lima agenda reformasi termasuk memperjuangkan dasar-dasar kerajaan Selangor yang memelihara kepentingan rakyat jika diberi mandat menjadi wakil rakyat pada Sabtu ini.

Mohd Zawawi berkata memelihara kepentingan rakyat itu termasuklah memastikan tiada amalan kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau seterusnya mahu pengundi DUN Sungai Kandis berdiri teguh dan menyokong pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terbukti cekap, adil dan sentiasa memerangi rasuah dalam tadbir urus kerajaan.

Calon PKR itu juga berikrar akan memastikan sebuah kerajaan yang profesional dan terhindar daripada campur tangan politik dalam urusan pentadbirannya termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain bersama kerajaan PH yang memberi kebebasan maklumat kepada sesiapa sahaja termasuk pihak media.

"Ini termasuk memastikan kerajaan Pakatan tidak akan menyembunyikan apa-apa maklumat selagi maklumat itu tidak bertentangan dengan undang-undang atau menyentuh isu berkaitan kerahsiaan dan keselamatan negeri atau negara," katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail.

Menurut Mohd Zawawi, agendanya yang terakhir ialah untuk memberi tumpuan sepenuhnya berkhidmat sebagai pemimpin yang berjuang untuk rakyat.

Beliau dalam pada itu memberi jaminan akan sentiasa membawa suara rakyat ke dalam DUN Selangor supaya dapat didengari dengan adil dan tanpa pilih kasih.

Katanya DUN negeri juga tidak memerlukan suara tambahan daripada parti pembangkang yang tidak akan mampu menjaga kebajikan rakyat kerana kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan ketika ini di bawah pentadbiran PH.

Sementara itu, Nik Mohd Yusoff berkata DPIM Selangor menyokong penuh pencalonan Mohd Zawawi sebagai calon PRK Sungai Kandis kerana percaya beliau mampu meneruskan agenda PH untuk berbakti kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada hari pengundian Sabtu ini Mohd Zawawi berdepan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

-- BERNAMA