Tujuh calon SPM di Ladang Mutiara Kahang, Kluang dibawa menduduki peperiksaan menggunakan lori selepas jalan keluar dari ladang itu dinaiki air akibat banjir awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Akob Sidek berkata pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kluang pada jam 6.30 pagi.

Katanya khidmat khas itu dijalankan bagi membantu pelajar yang terkandas akibat banjir kilat untuk menduduki SPM.

Akob berkata keadaan jalan tanah merah di ladang itu dinaiki air hingga paras pinggang kerana hujan lebat dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Kesemua pelajar tiga lelaki dan 4 perempuan dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kahang menggunakan sebuah lori.