Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengharamkan sepenuhnya bunga api dan mercun bagi mengekang penyeludupan dan pengedaran secara haram.

Pemangku Presiden CAP Mohideen Abdul Kader dalam satu kenyataan pada Isnin melahirkan rasa kesalnya selepas 44 jenis bunga api dan mercun untuk perayaan di bawah nama 'Happy Boom', telah ditarik balik pengharamannya Februari lepas.

Penggunaan mercun perayaan 'Happy Boom' telah diletakkan di bawah Akta itu, dan merupakan salah satu daripada mercun yang dibenarkan untuk dijual di Malaysia, bersama sejenis lagi bunga api iaitu 'Pop Pop'.

Katanya dengan membenarkan sejumlah besar bunga api untuk dijual, ianya akan membolehkan peniaga secara haram berselindung, disebalik jenis bunga api dan mercun yang dibenarkan dan menjualnya secara terbuka.

"Dengan membenarkan penjualan bunga api dan mercun, ia mewujudkan permintaan yang lebih banyak dan sekali gus menggalakkan kemasukan yang diseludup masuk ke dalam negara," katanya.

Mohideen berkata penyeludupan, pengedaran dan penjualan mercun dan bunga api hanya dapat dihentikan melalui penguatkuasaan yang ketat dan dengan bantuan masyarakat dengan tidak membelinya.

"Atas sebab itu, kami menggesa Jabatan Kastam dan Polis untuk meningkatkan usaha menggagalkan penyeludupan dan juga penjualan bunga api dan mercun di seluruh negara," katanya dan menambah pihak berkuasa juga perlu mengenakan hukuman yang lebih tinggi kepada pelakunya termasuk penjara lebih daripada 20 tahun.

Mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, sesiapa yang didapati, membuat, memiliki atau mengimport bunga api dan mercun boleh dipenjarakan tidak kurang lima (5) tahun atau dengan RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA