Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan mencari kaedah baharu untuk mengagihkan hasil kutipan cukai negara secara saksama kepada semua negeri terutamanya negeri yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata mengikut sistem federalisme, kerajaan Persekutan mengutip cukai daripada pelbagai sumber di seluruh negara sebelum cukai tersebut dikongsi dengan semua negeri yang ada.

"Kedah ini negeri tercorot dari segi hasil pendapatan dan kita tiada minyak atau gas jadi tak dapat royalti. Apa yang ada hanya hutan tetapi itu pun orang tak bagi buat pembalakan dan kita faham dan hendak uruskan sumber asli negeri secara lestari.

"Sebab itu, saya ingin cadangkan supaya kerajaan Persekutuan boleh agihkan dengan saksama hasil kutipan cukai untuk manfaat bersama terutamanya kepada negeri berpendapatan rendah seperti Kedah. Kalau cara dahulu, nak kena merayu dan minta ihsan kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mukhriz berkata disebabkan itu negeri yang miskin terpaksa berhutang dengan kerajaan Persekutuan dan menyebabkan negeri tersebut dibelenggu dengan hutang-hutang yang tidak dapat membantu pembangunan negeri.

"Jadi, kita minta supaya ada kaedah baharu untuk pastikan hubungan kewangan daripada kedua-dua pihak (kerajaan Persekutuan dan negeri) dapat dipertimbangkan semula," katanya.

Terdahulu, Mukhriz menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun di pejabatnya di Wisma Darul Aman.

-- BERNAMA