Satu petujuk baharu perlu dibuat untuk mengukur tahap serta nilai kekayaan negara yang lebih seimbang dan saksama.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia seharusnya berlainan berbanding pengiraan semasa yang menggunakan indikasi pertumbuhan pendapatan perkapita serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jelasnya, pengiraan itu perlu diperbetulkan kerana purata pendapatan individu yang tidak serata dan banyak dipengaruhi golongan berpendapatan tinggi.

"Untuk pengguna yang paling penting adalah keupayaan membeli dan mereka tidak mengira keupayaan pembangunan negara. Apa yang penting mereka boleh kekal menikmati barangan dan perkhidmatan yang mereka mahu.

"Penting bagi kerajaan untuk menentukan keseimbangan di dalam ekonomi dan jurang antara yang kaya dengan yang miskin," katanya semasa menyampaikan ucaptama penutup pada Forum Khazanah Megatrends 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Dalam pada itu katanya, kerajaan sebelum ini tidak mementingkan kesaksamaan kekayaan dalam masyarakat.

Tambah Dr Mahathir, kerajaan juga sudah mempunyai lebih ramai golongan profesional untuk menguruskan institusi dan syarikat kerajaan dengan dasar urus tadbir yang baik.

Sebelum ini, Mohamed Azmin Ali berkata, pertumbuhan KDNK sahaja tidak akan diukur sebagai kejayaan ekonomi negara sebaliknya perlu menggambarkan manfaat yang diperoleh rakyat.